Thursday, May 1, 2014

Dari Beijing ke Rom

Terbitan DuBookPress (DBP) 2014.
Aku ke Beijing dengan 'Bagaimana Anyss Naik ke Langit'. Jalan-jalan di Beijing melawat tempat popular kunjungan pelancong seperti Kota Larangan dan Tembok Besar Cina.

Itu hanya latar cerita. Pokok ceritanya lebih besar daripada latarnya.

Cerita Prof Anyss ini tiada bab. Seperti cerita Budak Beca, penulis menggunakan Prof Anyss untuk menyampaikan isu Penan yang tertindas.

Prof Anyss 'lari' ke Beijing daripada menjadi sasaran orang-orang tertentu di Malaysia. Prof Anyss lari membawa dokumen penting untuk menjuarai Penan yang tertindas. Wanita Penan yang dirogol pembalak. Benar kata Prof Anyss, 'bukan dirinya yang kontroversi tapi isu yang dibawanya yang kontroversi'.

Soalan Mustaqim anak Prof Anyss memberi tamparan buaya kepada aku, 'Mengapa orang kita rasa menolong Palestina lebih bersyurga kalau Penan di halaman sendiri diperlakukan sebagai mangsa?'. Lama aku terdiam dengan soalan ni. Tak tahu nak bereaksi bagaimana.

Prof Anyss adalah sasaran. Sasaran siapa dan apa? Semuanya akan terjawab dalam 'Bagaimana Anyss Langit ke Langit'.

Isu Penan itu buat aku kaget dan berfikir panjang. Mencucuk-cucuk otak aku. Penindasan sebegini kejam berlaku di halaman belakang rumah sendiri! Dan aku buat apa?

Cerita ini terlalu pendek bagi aku dan sebab itu aku kecewa sebab tak puas. Tapi isu yang diketengahkan penulis buat otak aku 'sakit' berhari-hari.



Terbitan ITBM 2013
Aku terus ke Rom kemudiannya. S.P.Q.R (Senatus Populusque Romanus – Senat dan Rakyat Rom). Aku dibawa jalan-jalan di Vatican City antaranya. Juga melihat Colliseum (terbayang novel Dan Brown).

Latarnya sudah tentu Rom kota purbakala. Tapi kisah naratifnya bercampur aduk dengan cerita peribadi dan isu Islam pada pandangan Barat.

Kisah Aliff @ 'Rafa' yang lari ke Rom membawa hati yang luka dan lara. Mengapa Rom hanya penulis yang tahu. Dia lari ke Rom untuk memulakan hidup baru. Dia tinggalkan suit mahal hanya untuk memakai 'apron kotor' (bak kata bosnya).

Rom kota purbakala itu menemukannya dengan Sofea si gadis bermata hijau zamrud. Sepanjang persahabatannya dengan Sofea, dia dibawa keliling kota Rom dan Vatican City. Juga Sofea mula bertanya tentang Islam kepadanya. Di sinilah isu Islam di mata Barat ditimbulkan oleh penulis Apa pandangan Barat terhadap Islam khususnya selepas kejadian 9/11.

Penceritaan diselang-selikan dengan kisah Aliff @ 'Rafa' sebelum lari ke Rom. Pengakhiran kisah 'Rafa'-Sofea ini sudah dapat diagak. Cuma ada sedikit elemen kejutan di akhir cerita.

S.P.Q.R ni mungkin lebih enak kalau penulis juga lebih sedikit cerita tentang makanan Itali. Bukan sekadar menyebut beberapa nama makanan. Aliff @ 'Rafa' itu wataknya seorang peguam hebat di sebuah firma guaman besar di Kuala Lumpur sebelum lari ke Rom menjadi chef. Tapi tingkah lakunya sepanjang prosiding perbicaraan kes kemalangan tunangnya Amanda, ada yang tidak cocok bagi aku. Aku agak penulis ni seorang peguam. Tapi aku rasa Aliff @ 'Rafa' ni tak seperti litigation lawyer malah seperti conveyancing lawyer pula tingkahnya. Atau mungkin seorang peguam akan berubah tingkah bila dia menjadi mangsa.

S.P.Q.R ni premisnya mudah dan bagi aku klise. Isu Islam yang ditimbulkan tidak cukup 'thought provoking' bagi aku. Hanya menyentuh permukaan saja. Apa pun, S.P.Q.R ni menang hadiah saguhati sayembara ITBM-PENA-BH.

Jadi, selamat membaca semua!



epitjack!
010514@1410