Tuesday, March 13, 2012

Review 3 buku JS Adiwarna

Buku Pertama:-
Tajuk: Damai Aku dalam Haruman Sakura
Penulis: Hafizul Osman
Harga: RM15.00
Kategori: Kreatif

Ya, saya memang tertarik dengan kulit buku ni secara keseluruhannya. Kulit bukunya sangat comel!! Perkataan “Sakura” pada tajuk buku ni yang paling menarik perhatian saya. Sebagai peminat manga dan anime jepun, buku ni memang menjadi perhatian. Ohhh lukisan manga yang diselitkan dalam buku ni pun cantik. Saya suka dan satu pendekatan yang sangat menarik.

Secara ringkasnya, Azmil ‘terperangkap’ dengan perasaannya terhadap tiga bunga: bunga anggerik, bunga sakura dan bunga matahari. Shahida si bunga anggerik, kembali mendambakan kasih Azmil. Sedang Azmil sudah jatuh hati pada gadis Jepun, Kamei Aki si bunga sakura. Tapi perasaan Azmil kuat tertarik pada Amira si bunga matahari yang sama-sama mengikuti program pertukaran pelajar ke Jepun.

Si Azmil ni agaknya suka pada gadis yang berlesung pipit dan yang tersenyum manis. Banyak betul perkataan ‘manis’ dalam buku ni. Haiihhh jangan sampai kena kencing manis sudah la Azmil…

Buku ni ‘manis’ sekali bila dibaca tapi dalam manis tu ada pahitnya juga. Cabaran dan dugaan di tempat asing memang sangat menguji keteguhan iman kita sebagai muslim. Juga cabaran untuk kita membawa identiti seorang muslim yang berakhlak tinggi serta dapat berdakwah adalah lebih mencabar. Apapun, saya suka bunga sakura dan tentu seronok kalau dapat duduk di bawah pohon sakura sambil membaca buku dan melihat bunga sakura berkembang…=)


Buku Kedua:-
Tajuk: Arjuna Mencari Cinta
Penulis: Adlinz Alexandria
Harga: RM18.00
Kategori: Si Manis 17

Melihat kulit buku ni teringat pada pensyarah saya masa di matrikulasi dulu. Katanya, “Tak payahlah kamu semua ni nak bawa busur dan anak panah pergi memburu cinta. Sampai sanggup mengambil yang bukan kamu punya. Kalau ‘dia’ adalah jodoh kamu, ‘dia’ akan datang mengetuk pintu rumah kamu.”

Saat membaca novel ni, memang tak boleh berhenti. Rasa teruja. Lebih tepat lagi saya rasa lebih muda 12 tahun bila baca novel ni. Teringat masa zaman sekolah dulu.

Novel ni bagi saya cukup perisa dan rencahnya. Sesuai dan wajib dibaca oleh golongan remaja. Saya memang tak suka watak Nejad. Seorang ketua pengawas yang hampir sempurna tapi ‘oportunis’ juga hipokrit. Rasanya Nejad perlu dapat pengajaran yang lebih teruk lagi daripada apa yang telah Vilma lakukan padanya. SPM 11B masih belum setimpal dengan ‘pengkhianatan’ yang telah dia lakukan terhadap ‘geng’ kumpulan belajarnya. Khayal dan lupa diri dengan keindahan cinta memang sentiasa menjadi duri dalam daging dalam hubungan persahabatan.

Memang ibarat buku bertemu ruas bila Nejad berjumpa dengan Nur Dalilah si ketua disiplin yang digelar ‘diktator maut’. Apa saja yang berkaitan dengan disiplin sekolah, ‘it is no nonsense’ bagi Dalilah. Samada kamu pelajar biasa atau adik angkat ketua pengawas hatta ketua pengawas sendiri pun tak terkecuali daripada tindakan disiplin. Fuhh pendek kata Dalilah ni memang ketua disiplin yang tegas dan tak boleh dibuat main-main. Dia pasti akan kotakan segala denda yang tertakluk dalam buku disiplin sekolah. Dalilah memang seorang yang tegas dan teguh dengan prinsipnya. Watak yang sangat bagus. Kalau masa sekolah dulu ada ketua disiplin macam ni di sekolah mesti saya dah jadi budak yang paling baik sekali di sekolah.

Kesian juga bila tengok Nejad ‘gagal’ dalam pelajaran. Tapi ia menjadi pengajaran yang besar untuk Nejad bahawa ‘pangkat dan kuasa’ tak menjamin apa-apa tanpa usaha untuk berjaya dan sesungguhnya persahabatan itu yang membuatkan kita untuk terus hidup berdaya maju.

Jadi, dapatkah panah sang arjuna menembusi pintu hati sang dewi?


Buku Ketiga:-
Tajuk: Alahai Jijah!
Penulis: Dihsar Ludba Haqifa
Harga: RM17.00
Kategori: Si Manis 17

Novel yang comel tapi sinis. Dari mula sampai akhir saya asyik ketawa saja baca novel ni. Dialog-dialog dalam novel ni ‘keras’ tapi menghiburkan. Aduhh saya masih mahu ketawa sambil menulis ulasan ni.

Jijah, budak berumur 10 tahun yang sangat tabah bagi saya. Walaupun dibuli dan didera oleh ibu tiri dan kakak tirinya, Jijah tetap positif menghadapi hari-hari yang mendatang. Mujurlah orang-orang disekeliling Jijah sering membantunya. Pak Meon selalu saja memberi kerja menebas lalang yang diternaknya kepada Jijah. Kawan baik Jijah, si Sodah pula selalu saja mengajak Jijah makan nasi percuma dirumahnya. Mereka berdua ni juga selalu makan cendol pulut Abang Abu lepas habis sekolah.

Walaupun Jijah selalu dibuli dan didera, tapi Jijah masih setia menjaga ibu tirinya yang sakit ketika kakak tirinya lari menghilangkan diri dan sanggup memberi peluang kedua kepada ibu tirinya untuk bertaubat. Saya amat kagum dengan sikap positif yang ada dalam diri Jijah. Belum tentu sikap yang begini ada pada setiap orang dewasa.

Novel yang kelihatan comel, menghiburkan dan penuh dengan drama ini sebenarnya tersembunyi makna tersirat yang sangat mendalam. Ingat! Jangan sesekali menggunakan ilmu hitam untuk mendapatkan apa yang kita inginkan. Jangan makan harta anak yatim. Jangan khianati amanah yang telah diberikan kepada kita. Sentiasalah bersikap positif dan memaafkan orang lain.


p/s: I'm enjoy reading these 3 books...=)



epitjack!
130312@1234



No comments:

Post a Comment