Buku Pertama:-
Tajuk: Wanginya Bunga Rampai
Penulis: Haswida Abu Bakar
Harga: RM19.00
Kategori: Si Manis 17
Plot yang nampak klise bila jodoh telah ditentukan oleh keluarga kerana wasiat dan juga keturunan. Tapi apa yang membuatkan plot yang kononnya klise ini nampak berbeza?
Latar ceritanya berbeza dan terima kasih kepada penulis kerana mengembalikan nostalgia saya pada kemeriahan persiapan kenduri kahwin di kampung. Orang ramai datang bergotong-royong untuk menyediakan juadah kenduri disamping cerita politik dan gosip orang kampung. Ahhh sungguh nostalgia sekali!
Arif dan Seri masing-masing telah ditunangkan dengan pilihan keluarga. Tapi hati mereka bergetar dengan irama yang sama bila pertama kali bersua muka di Kg. Molek untuk persiapan perkahwinan Helmi. Betullah kata orang bahawa orang bertunang ni darah manis dan cabaran semasa bertunang lebih hebat lagi. Saya kagum pada sikap Seri yang kuat menepis godaan dan berpegang teguh pada ikatan pertunangannya walau tidak ada setitis kasih pun pada tunangnya, Haikal. Berkat doa dan kesabaran Seri, Allah telah menghembuskan perasaan sayang dan rindu itu kepadanya dan Haikal.
Maka tinggallah Arif, si penunggu fajar yang sia-sia. Sikap Arif yang tegar mengikut perasaannya dan cuba merebut Seri dari tunangannya, Haikal amatlah menjengkelkan sedang dia sendiri juga telah ditunangkan dengan Nurul. Walaupun Arif dan Seri tidak dapat bersatu tapi darah mereka telah bersatu dalam tubuh Hana.
Pengakhirang novel ini yang telah mengikat kejap hati saya bila akhirnya Arif Azri Baharin menemui dirinya kembali dalam misi pencarian si ‘dia’. Dan pastinya gambar cover buku itu adalah Syarifah Seri Indah Syed Ilham al-Habsyi & Syed Haikal Syed Uzair al-Idrus!
Buku Kedua:-
Tajuk: Langsir Biji Remia
Penulis: Noor Suraya
Harga: RM17.00
Kategori: Si Manis 17
Salahkah Umair bila hatinya tak dapat menerima Duha seadanya? Dan Duha, apakah dia benar-benar redha dan pasrah dengan ketentuan daripada Allah? Berapa ramaikah insan seperti Muhsin yang mampu memandang terus ke dalam hati insan lain tanpa menghakimi rupa luaran seseorang? Inilah persoalan-persoalan yang timbul di benak hati saya seusai membaca novel ini.
Seperti biasa, gaya penulisan dan bahasa yang digunakan oleh Kaksu halus dan meresap masuk terus ke hati saya. Kaksu tak pernah gagal membuatkan hati saya yang beku ni untuk kembali hangat dengan soal hati dan perasaan!
Kakak saya mengalirkan airmata masa baca novel ni. Tapi saya kurang percaya dengan dia sebab dia memang hantu airmata kalau layan novel. Jadi saya cakap dengan dia, “Okey kita tengok samada aku pun akan mengalirkan airmata atau tak.” Wah! Angkuh sekali bunyinya. Saya berjaya mengempang airmata dari gugur tapi genangan airmata tetap memedihkan mata saya. Syahdu je bunyinya.
Habis baca novel ni perasaan saya bercampur baur. Kalau saya ditempat Duha, adakah saya akan kecewa dan putus asa? Atau mungkinkah saya pun akan hipokrit juga dengan diri saya sendiri? Saya bencikan Umair secara umumnya. Tapi saya tak salahkan Umair bila hatinya tak mampu memilih Duha. Cuma tentang Muhsin itu, saya tak pasti masih adakah orang sepertinya yang begitu tulus sekali hatinya.
Dalam novel ni saya berjumpa balik dengan Ain Najwa yang tabah dan itu membuatkan saya semakin kagum dengan Ain Najwa. Melalui novel ni barulah saya tahu wind chime tu dipanggil ‘peranggu angin’ dalam bahasa melayu.
Persoalannya: apakah yang ada dalam hati kita sebenarnya?
Buku Ketiga:-
Tajuk: Blues Retro
Penulis: Imaen
Harga: RM17.00
Kategori: Si Manis 17
“Bang, burger daging spesial tambah cheese satu!” Saya suka makan burger dan ini yang saya selalu beli di gerai burger ‘kampung’.
Lepas habis baca novel ni, saya asyik makan burger kampung saja dan langsung membayangkan Ghazi dan Alias. Ini bukan setakat cerita gerai burger kampung saja tapi cerita yang seputar dengan pemilik gerai burger kampung ‘Wrap n Roll Express’ itu.
Tentang Ghazi, mahasiswa yang hanya layak belajar dalam jurusan antropologi dan jatuh hati dengan Nik Farhana, mahasiswi dalam jurusan perubatan. Ghazi yang datang daripada keluarga yang susah terpaksa berniaga burger dengan rakan kongsinya, Alias untuk menampung perbelanjaan dan kelangsungan hidup di Universiti Lembah Pantai. Kegigihan dan keperitan Ghazi untuk terus hidup dalam dunia intelek di kotaraya besar itu menyentuh hati saya. Walaupun saya tidaklah sampai kena berniaga burger macam Ghazi masa belajar di kampus dulu, tapi bab makan sedap yang hanya sesekali saja di kafeteria dan kerap kalinya makan nasi putih, telur dadar dan kicap atau roti nan seringgit memang biasa masa belajar dulu.
Ghazi ni revolusioner (kata Nik Farhana). Dia ikut demonstrasi pelajar bagi membela nasib golongan bawahan yang ditindas. Rasanya saya dulu pun macam Ghazi masa belajar. Rebel. Pernah satu hari masa saya telefon mak di kampung, mak siap pesan jangan ikut mana-mana demonstasi atau kegiatan bawah tanah. Mak macam tahu-tahu saja. Tapi sekarang walau dah bekerja pun saya masih berjiwa revolusioner. Tambahan lagi moto pekerjaan saya adalah ‘uphold justice without fear and favour’.
Cinta antara dua darjat antara Ghazi dan Nik Farhana memang dramatik. Dah tentulah bonda Nik Farhana tak berkenan dengan Ghazi yang bukan berdarah keturunan raja dan miskin pula. Tapi Nik Farhana nekad tak mahu kahwin dengan sepupunya, Tengku Nordin dan ajak Ghazi kahwin lari! Berjayakah mereka kahwin lari ke Siam?
Apapun saya memang suka sikap Ghazi yang optimis dan realistik itu. Ghazi optimis untuk mengembangkan perniagaan gerai burgernya, Wrap n Roll Express. Dan dia juga realistik tentang cintanya terhadap Nik Farhana.
epitjack!
120412@1631