Sunday, September 20, 2015

Diskriminasi dan Penindasan

Sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia baru-baru ni, sana sini orang bercakap tentang perpaduan, pengorbanan, sehati sejiwa dan bla bla bla....

Saya hargai perjuangan dan pengorbanan orang terdahulu. Sesungguhnya hanya Allah saja yang bisa membalas jasa mereka.  Tanggungjawab generasi kini adalah terus memastikan perpaduan dan keamanan terus utuh supaya perjuangan dan pengorbanan orang terdahulu tidak menjadi sia-sia belaka. 

Kebelakangan ini pelbagai isu timbul mengenai perpaduan kaum dan agama. Saya bukan nak bercakap tentang diskriminasi antara kaum/etnik utama tapi tentang diskriminasi dalam sesuatu kaum/etnik atau agama itu sendiri. Contoh diskriminasi dalam kaum Melayu atau diskriminasi dalam Melayu Islam. 

Ini sikap saya dalam berprinsip melalui pengalaman saya. Diskriminasi ini telah menyebabkan saya pada suatu ketika berasa rendah diri dan malu dengan asal usul saya. Saya malu dan takut kalau orang tahu saya ni orang banjar. Tahu kenapa? 

Waktu saya sekolah rendah, majoriti pelajar di situ "orang Perak tulen" kononnya...jadi kami orang banjar yang belajar di situ sering dianggap dan dilayan sebagai orang "kelas kedua". Kami dikatakan makan katak, pendatang dan orang luar. Kebetulan pula orang banjar di sekolah tu miskin dan bila miskin dah tentu pakaian sekolah pun comot berbanding dengan "orang Perak tulen" yang lebih kaya dan pakaian sekolah yang lebih kemas dan bersih. Orang banjar kat sekolah tu memang selalu la kena kata dan dibuli. Selalu juga dipinggirkan daripada menyertai acara sukan sekolah. Disebabkan orang banjar di sekolah tu adalah minoriti, jadi tak ramai juga orang banjar yang menghuni kelas yang pandai. Pendek kata orang banjar di sekolah tu tak pandai, miskin, comot dan boleh dikatakan kebanyakannya menghuni kelas corot. 

Apa yang memburukkan lagi keadaan ini adalah apabila ada segelintir guru di situ juga berpandangan serong dan bersikap perkauman terhadap orang banjar yang belajar di situ. Sebagai orang banjar yang belajar di situ, saya berasa perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku. Saya berharap seorang guru dapat membela nasib kami yang ditindas, dihina dan dipinggirkan. Tapi harapan saya hanya satu harapan yang kosong.  Mungkin antara faktor penindasan itu adalah kerana perbezaan bahasa pertuturan. Masing-masing bertutur dalam laras bahasa loghat masing-masing. Tidak bertutur dalam bahasa melayu.

Dua perkara yang akan berlaku apabila seseorang itu ditindas. Samada dia akan terus ditindas dan akhirnya akan pupus atau dia mengambil sikap untuk bangkit daripada penindasan itu. 

Saya memilih untuk bangkit daripada penindasan tersebut. Dalam proses saya bangkit daripada penindasan itu, sedikit demi sedikit jati diri saya sebagai orang banjar mungkin terhakis. Di sekolah saya belajar bertutur dalam loghat "orang Perak tulen". Saya belajar bersungguh-sungguh untuk menghuni kelas pandai dan memastikan saya naik pentas setiap tahun untuk menerima hadiah kecemerlangan. Saya berusaha memajukan diri dan menjadi yang terbaik supaya orang memandang saya sebagai seorang yang berkebolehan dan seterusnya orang lupa yang saya ni orang banjar yang sering mereka tindas. Saya mahu menjadi seseorang yang dipandang tinggi kerana saya memiliki apa yang mereka inginkan. 

Sikap kebangkitan saya ini akhirnya membawa saya masuk ke sekolah berasrama penuh di bandar. Saya bertemu dengan orang banjar daripada daerah lain. Saya berasa lega mulanya tapi rupanya ada juga sedikit penindasan terhadap kami. Kami dilarang membahasakan diri sebagai "AKU" kerana ia berbunyi kasar. Jadi kami terpaksa membahasakan diri sebagai saya, kami atau apa saja asalkan bukan "AKU". Ini satu penindasan bahasa. Bagi kami orang banjar, "AKU" itu satu bahasa diri yang mesra. Macam orang utara bahasakan diri mereka "cheq". Pada masa ni, pertuturan bahasa banjar saya makin hilang. Bila balik kampung, saya tidak boleh bertutur dalam bahasa banjar dengan fasih. Justeru, saya mula dipinggirkan oleh kawan-kawan banjar saya yang sekampung. Saya tak peduli dengan keadaan ni. Yang penting saya terus ke depan belajar memajukan diri, keluar daripada kemiskinan, dan menjadi orang berilmu yang dipandang tinggi dalam masyarakat.

Dalam pada saya berasa makin jauh meninggalkan jati diri saya sebagai orang banjar, saya mendapat rakan sebilik di universiti yang teruja dengan bahasa banjar. Sampai rakan sebilik saya ni buat satu nota kecil kamus bahasa banjar. Pertuturan bahasa banjar saya pada masa ni sudah hampir mencapai tahap "banjar murtad" bak kata ustaz di sekolah asrama saya dulu. Tapi sebelum saya menjadi "banjar murtad" sepenuhnya, saya telah ditunjukkan jalan taubat. 

Suatu hari ketika saya cuti semester di kampung, pakcik saya datang ke rumah. Dalam perbualan rancak antara pakcik saya dengan mak saya, pakcik saya berkata, "anak-anak sekarang ni patotnya masti bisa bersurah banjar. Mon tidak sapa lagi handak bersurah banjar...lama-lama hapos ka itu haja pang. Sekulah pandai-pandai jugak tapi masti taho asal usul banjar..bersurah banjar. Mon kadak kita bersurah banjar sapa lagi handak bersurah banjar." Saya yang mendengar ni rasa sentap. Rasa kena setepek kat muka. 

Lepas pakcik saya balik, saya fikir ada benar juga kata-kata pakcik saya tu. Kalau bukan orang banjar sendiri menghidupkan bahasa banjar itu, siapa lagi kan? Dan saya rasa rugi kalau akhirnya bahasa banjar itu pupus. Sejak tu, saya kembali bertaubat ke jalan yang benar mencari kembali jati diri saya sebagai orang banjar. Saya hargai bahasa banjar itu, saya mencari makanan tradisi orang banjar dan adatnya. Syukur juga mak saya dulu selalu masak makanan tradisi orang banjar. Dulu saya selalu tolong mak masak 'wadai (kuih) kalakatar' (sejenis kuih macam tepung talam. bahan penting dalam kalakatar adalah air kelapa muda dan isi kelapa muda. kalau takde kelapa muda bukan kalakatar la namanya) dan setiap kali kenduri kami akan buat 'wadai kipeng' (sejenis bubur manis). 

Setelah melalui proses tersebut di atas, saya berbangga bahawa saya orang banjar. Dan orang banjar seperti juga orang jawa, orang mandailing, orang rawa, orang kampar, dan lain-lain adalah dalam kelompok orang Melayu. Orang Melayu adalah orang asal dan peribumi yang telah menghuni benua asia tenggara ini beratus ribu tahun lamanya. Orang Melayu bertebaran di seluruh kepulauan melayu di asia tenggara. Cuma sekarang orang melayu dipisahkan oleh sempadan geografi negara moden. 

Prinsip saya kenalilah siapa diri kita supaya kita mempunyai jati diri yang utuh dan dengan itu kita tidak akan mudah dibuli dan ditindas. Berbanggalah dengan jati diri bangsa kita. Tapi harus diingat, bila kita berbangga dengan bangsa Melayu kita, itu tidak bermakna kita mempunyai lesen untuk menghina atau menindas bangsa lain. Bukankah Allah menciptakan manusia itu berbilang kaum dan bangsa supaya kita saling kenal mengenali? Ingat. Untuk kita saling kenal. Untuk kita saling bantu membantu. 

Sebelum kita bercakap tentang bangsa lain, pastikan kita tidak menindas bangsa kita sendiri disebabkan dia miskin, tidak berpelajaran, bukan Melayu tulen kononnya, bukan Melayu Islam sebenar kononnya, tidak satu fikrah fahaman politik atau sebagainya. Diskriminasi dan penindasan adalah universal. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk..samada antara agama, bangsa, gender mahupun sesama agama, bangsa, gender dan sebagainya. 

Manusia secara umum bersikap prejudis. Raikanlah perbezaan antara kita dan teruslah berusaha ke arah perpaduan dan keamanan sejagat. 

SELAMAT HARI MERDEKA & HARI MALAYSIA 2015!



epitjack!
20092015@0551