Tuesday, May 24, 2016

Budak Tin karya Nazrie Haslieanie

Terbitan ITBM

Sinopsis ringkas:- 
Buku ini tentang seorang kanak-kanak bernama Fatin. Ayahnya bekerja sebagai pengutip tin dan menjualnya di pusat kitar semula. Disebabkan itu Fatin digelar sebagai 'budak tin' di sekolahnya dan amat dibenci oleh rakan sedarjahnya, Darius yang juga jiran Fatin. 

Rasa:-
Kulit depan buku ini sudah mencerminkan isi buku. Gambar kulit depan buku baik. Taklah asyik putih saja.  Buku ni nipis. Sekejap saja boleh habis baca. 

Bagi saya, karakter Fatin adalah seorang kanak-kanak yang tulus hati dan optimis. Dia tidak rasa rendah diri dengan pekerjaan ayahnya. Dia tidak mudah emosi bila rakan-rakan menggelarnya 'budak tin'. Malah dia dengan yakin diri bercita-cita ingin mempunyai sebuah pusat kitar semula sendiri! Fatin ini seorang anak yang hebat bagi saya. Saya asyik tertanya kenapa ayah Fatin sampai bekerja jadi pengutip tin? Saya selalu  fikir orang sebegini malas cari pekerjaan yang lebih baik. Tapi ternyata saya silap. Ayah Fatin sukar mendapat pekerjaan lantaran kecacatan jarinya yang disebabkan oleh satu kemalangan di tempat kerja. Ini satu diskriminasi dan tidak adil saya kira. Mereka ditolak hingga tiada pilhan.

Isu yang dibawakan oleh buku ini bukanlah isu baru. KITAR SEMULA. Melalui ayah Fatin yang bekerja sebagai pengumpul tin, saya belajar teknik kitar semula dengan betul. Tin-tin yang dikumpul mestilah dibasuh dan dikeringkan. Kemudian akan dileperkan (dipijak dengan kaki) sebelum dijual ke pusat kitar semula.  Kenapa kita tidak serius mengitar semula? Adakah sebab hasil jualan barangan kitar semula itu hanya dapat beberapa sen saja? Jadi tidak berbaloi untuk kumpul tin dan botol plastik. Buat semak saja tapi hasilnya tak seberapa. Selagi kita ada fikiran yang begini, selagi itulah kita tidak akan serius mengitar semula. Dan kempen kitar semula yang dicanangkan oleh kerajaan hanya menghabiskan wang ringgit saja. 

Setelah membaca buku ini, sekarang saya serius mengitar semula. Tambahan pula saya dapat tahu fabrik fleece (yang digunakan untuk membuat selimut dan baju panas) diperbuat daripada botol plastik yang dikitar semula.  
  
Wajar dan wajib dibaca oleh setiap orang tak kira kanak-kanak atau orang dewasa. 


p/s: Kitar semula demi anak-anak masa depan.


epitjack!
240516@1741
Ipoh.


Sunday, September 20, 2015

Diskriminasi dan Penindasan

Sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia baru-baru ni, sana sini orang bercakap tentang perpaduan, pengorbanan, sehati sejiwa dan bla bla bla....

Saya hargai perjuangan dan pengorbanan orang terdahulu. Sesungguhnya hanya Allah saja yang bisa membalas jasa mereka.  Tanggungjawab generasi kini adalah terus memastikan perpaduan dan keamanan terus utuh supaya perjuangan dan pengorbanan orang terdahulu tidak menjadi sia-sia belaka. 

Kebelakangan ini pelbagai isu timbul mengenai perpaduan kaum dan agama. Saya bukan nak bercakap tentang diskriminasi antara kaum/etnik utama tapi tentang diskriminasi dalam sesuatu kaum/etnik atau agama itu sendiri. Contoh diskriminasi dalam kaum Melayu atau diskriminasi dalam Melayu Islam. 

Ini sikap saya dalam berprinsip melalui pengalaman saya. Diskriminasi ini telah menyebabkan saya pada suatu ketika berasa rendah diri dan malu dengan asal usul saya. Saya malu dan takut kalau orang tahu saya ni orang banjar. Tahu kenapa? 

Waktu saya sekolah rendah, majoriti pelajar di situ "orang Perak tulen" kononnya...jadi kami orang banjar yang belajar di situ sering dianggap dan dilayan sebagai orang "kelas kedua". Kami dikatakan makan katak, pendatang dan orang luar. Kebetulan pula orang banjar di sekolah tu miskin dan bila miskin dah tentu pakaian sekolah pun comot berbanding dengan "orang Perak tulen" yang lebih kaya dan pakaian sekolah yang lebih kemas dan bersih. Orang banjar kat sekolah tu memang selalu la kena kata dan dibuli. Selalu juga dipinggirkan daripada menyertai acara sukan sekolah. Disebabkan orang banjar di sekolah tu adalah minoriti, jadi tak ramai juga orang banjar yang menghuni kelas yang pandai. Pendek kata orang banjar di sekolah tu tak pandai, miskin, comot dan boleh dikatakan kebanyakannya menghuni kelas corot. 

Apa yang memburukkan lagi keadaan ini adalah apabila ada segelintir guru di situ juga berpandangan serong dan bersikap perkauman terhadap orang banjar yang belajar di situ. Sebagai orang banjar yang belajar di situ, saya berasa perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku. Saya berharap seorang guru dapat membela nasib kami yang ditindas, dihina dan dipinggirkan. Tapi harapan saya hanya satu harapan yang kosong.  Mungkin antara faktor penindasan itu adalah kerana perbezaan bahasa pertuturan. Masing-masing bertutur dalam laras bahasa loghat masing-masing. Tidak bertutur dalam bahasa melayu.

Dua perkara yang akan berlaku apabila seseorang itu ditindas. Samada dia akan terus ditindas dan akhirnya akan pupus atau dia mengambil sikap untuk bangkit daripada penindasan itu. 

Saya memilih untuk bangkit daripada penindasan tersebut. Dalam proses saya bangkit daripada penindasan itu, sedikit demi sedikit jati diri saya sebagai orang banjar mungkin terhakis. Di sekolah saya belajar bertutur dalam loghat "orang Perak tulen". Saya belajar bersungguh-sungguh untuk menghuni kelas pandai dan memastikan saya naik pentas setiap tahun untuk menerima hadiah kecemerlangan. Saya berusaha memajukan diri dan menjadi yang terbaik supaya orang memandang saya sebagai seorang yang berkebolehan dan seterusnya orang lupa yang saya ni orang banjar yang sering mereka tindas. Saya mahu menjadi seseorang yang dipandang tinggi kerana saya memiliki apa yang mereka inginkan. 

Sikap kebangkitan saya ini akhirnya membawa saya masuk ke sekolah berasrama penuh di bandar. Saya bertemu dengan orang banjar daripada daerah lain. Saya berasa lega mulanya tapi rupanya ada juga sedikit penindasan terhadap kami. Kami dilarang membahasakan diri sebagai "AKU" kerana ia berbunyi kasar. Jadi kami terpaksa membahasakan diri sebagai saya, kami atau apa saja asalkan bukan "AKU". Ini satu penindasan bahasa. Bagi kami orang banjar, "AKU" itu satu bahasa diri yang mesra. Macam orang utara bahasakan diri mereka "cheq". Pada masa ni, pertuturan bahasa banjar saya makin hilang. Bila balik kampung, saya tidak boleh bertutur dalam bahasa banjar dengan fasih. Justeru, saya mula dipinggirkan oleh kawan-kawan banjar saya yang sekampung. Saya tak peduli dengan keadaan ni. Yang penting saya terus ke depan belajar memajukan diri, keluar daripada kemiskinan, dan menjadi orang berilmu yang dipandang tinggi dalam masyarakat.

Dalam pada saya berasa makin jauh meninggalkan jati diri saya sebagai orang banjar, saya mendapat rakan sebilik di universiti yang teruja dengan bahasa banjar. Sampai rakan sebilik saya ni buat satu nota kecil kamus bahasa banjar. Pertuturan bahasa banjar saya pada masa ni sudah hampir mencapai tahap "banjar murtad" bak kata ustaz di sekolah asrama saya dulu. Tapi sebelum saya menjadi "banjar murtad" sepenuhnya, saya telah ditunjukkan jalan taubat. 

Suatu hari ketika saya cuti semester di kampung, pakcik saya datang ke rumah. Dalam perbualan rancak antara pakcik saya dengan mak saya, pakcik saya berkata, "anak-anak sekarang ni patotnya masti bisa bersurah banjar. Mon tidak sapa lagi handak bersurah banjar...lama-lama hapos ka itu haja pang. Sekulah pandai-pandai jugak tapi masti taho asal usul banjar..bersurah banjar. Mon kadak kita bersurah banjar sapa lagi handak bersurah banjar." Saya yang mendengar ni rasa sentap. Rasa kena setepek kat muka. 

Lepas pakcik saya balik, saya fikir ada benar juga kata-kata pakcik saya tu. Kalau bukan orang banjar sendiri menghidupkan bahasa banjar itu, siapa lagi kan? Dan saya rasa rugi kalau akhirnya bahasa banjar itu pupus. Sejak tu, saya kembali bertaubat ke jalan yang benar mencari kembali jati diri saya sebagai orang banjar. Saya hargai bahasa banjar itu, saya mencari makanan tradisi orang banjar dan adatnya. Syukur juga mak saya dulu selalu masak makanan tradisi orang banjar. Dulu saya selalu tolong mak masak 'wadai (kuih) kalakatar' (sejenis kuih macam tepung talam. bahan penting dalam kalakatar adalah air kelapa muda dan isi kelapa muda. kalau takde kelapa muda bukan kalakatar la namanya) dan setiap kali kenduri kami akan buat 'wadai kipeng' (sejenis bubur manis). 

Setelah melalui proses tersebut di atas, saya berbangga bahawa saya orang banjar. Dan orang banjar seperti juga orang jawa, orang mandailing, orang rawa, orang kampar, dan lain-lain adalah dalam kelompok orang Melayu. Orang Melayu adalah orang asal dan peribumi yang telah menghuni benua asia tenggara ini beratus ribu tahun lamanya. Orang Melayu bertebaran di seluruh kepulauan melayu di asia tenggara. Cuma sekarang orang melayu dipisahkan oleh sempadan geografi negara moden. 

Prinsip saya kenalilah siapa diri kita supaya kita mempunyai jati diri yang utuh dan dengan itu kita tidak akan mudah dibuli dan ditindas. Berbanggalah dengan jati diri bangsa kita. Tapi harus diingat, bila kita berbangga dengan bangsa Melayu kita, itu tidak bermakna kita mempunyai lesen untuk menghina atau menindas bangsa lain. Bukankah Allah menciptakan manusia itu berbilang kaum dan bangsa supaya kita saling kenal mengenali? Ingat. Untuk kita saling kenal. Untuk kita saling bantu membantu. 

Sebelum kita bercakap tentang bangsa lain, pastikan kita tidak menindas bangsa kita sendiri disebabkan dia miskin, tidak berpelajaran, bukan Melayu tulen kononnya, bukan Melayu Islam sebenar kononnya, tidak satu fikrah fahaman politik atau sebagainya. Diskriminasi dan penindasan adalah universal. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk..samada antara agama, bangsa, gender mahupun sesama agama, bangsa, gender dan sebagainya. 

Manusia secara umum bersikap prejudis. Raikanlah perbezaan antara kita dan teruslah berusaha ke arah perpaduan dan keamanan sejagat. 

SELAMAT HARI MERDEKA & HARI MALAYSIA 2015!



epitjack!
20092015@0551  
  


Thursday, August 20, 2015

Abah aku seorang tukang rumah

Masa aku umur dalam 5-8 tahun, aku selalu ikut abah pergi bertukang buat rumah orang. Jadi selalu tengok abah ayak pasir, angkut bata, bancuh simen, ikat bata, mengetam kayu, pasang atap dan bumbung, pasang pintu dan tingkap, pasang paip, pasang kekuda dan alang, pasang siling, menyimen, melantai, memaku, menggergaji, pasang marmar dan sebagainya. 

Walaupun abah sibuk buat kerja tapi bila aku minta abah pulas buah pulasan untuk aku, abah akan berhenti buat kerja. 

Kerja tukang rumah ni berat. Kira macam kerja buruh la. Kira susah jugak la abah cari duit untuk keluarga dan sekolahkan kami adik-beradik. Pernah sekali masa aku Tingkatan 2 atau 3, abah jatuh masa tengah pasang bumbung. Kaki terseliuh. Lama abah tak boleh kerja. Hidup susah jugak la masa tu. Mak buat kuih letak kat kedai kopi. Sampai akhir hayat abah pun kaki yang terseliuh tu kadang-kadang masih sakit. 

Aku rasa kadang-kadang elok jugak bawa anak-nak tengok macam mana ibu bapa bekerja. Mungkin suatu hari nanti anak-anak akan ingat jugak susah payah ibu bapa bekerja mencari rezeki.



p/s: Abah pernah offer diri nak tunjuk jalan pi Mahkamah Parit Buntar. Tapi aku kata takpa aku boleh pi cari sendiri. Mungkin sebenarnya abah nak kata, "abah nak ikut..nak tengok tempat hang kerja." 



 

Wednesday, July 1, 2015

2015 yang pilu

8.4.2015 my master passed away. 10 days before my 7th anniversary being a lawyer and just 2 months after my father passed away. Allah saja yang tahu betapa sedih dan pilu. 

Dalam profesion peguam, master adalah mentor. Sampai bila-bila pun master saya adalah mentor yang paling saya kagumi. Dia adalah pemandu arah saya dalam profesion. Tunjuk ajar dia akan selalu tersemat dalam hati saya. 

Selain mak dan abah, dia adalah orang yang meninggalkan kesan dalam kehidupan saya. 

Kadang-kadang saya terfikir, kenapa orang-orang ini pergi tinggalkan saya? Saya fikir mungkin perancangan Allah lebih hebat untuk saya. Saya tak tahu. Yang pasti saya akan teruskan hidup bersama dengan segala kenangan dan tunjuk ajar daripada mereka yang telah meninggalkan saya. 



p/s: dalam hati saya, mereka tak pernah pergi meninggalkan saya.     

 

Monday, March 9, 2015

Piatu

Sejauh mana pun kita bersedia, kita takkan pernah benar-benar bersedia untuk kematian orang yang dekat dan kita sayang.

Hari ni sudah lebih sebulan abah pergi tingalkan kami buat selama-lamanya. Abah pergi pada hari lahir aku, 7.2.2015 bersamaan 17 Rabi'ul Akhir 1436. Jujurnya aku masih rasa kebas dengan kejadian mendadak ini.

Tiga tahun lalu waktu mak tinggalkan kami selamanya, aku hampir setahun tak boleh tulis apa-apa di blog. Dan aku juga suffered delayed grief selama itu. Kali ini aku sedaya upaya mahu grief. Tapi tak boleh. Aduh susah sekali untuk aku grief.

Perasaan waktu abah pergi sungguh tak sama dengan perasaan waktu mak pergi. Apapun aku kini secara rasminya sudah yatim piatu. 32 tahun dan masih belum berkahwin. Syukur aku masih ada pekerjaan untuk aku pegang dan bergantung.

Perasaan mak dah pergi pun aku masih belum kebal. Dan sekarang aku kena mesti hadapi perasaan abah dah pergi juga. Aku sekarang ini ibarat berdiri tegak menahan hunjaman perasaan pedih. 




 

Wednesday, January 28, 2015

BOIKOT PREMIS MAKANAN TIADA ZON LARANGAN MEROKOK

Premis makanan yang aku boikot sebab tidak menguatkuasakan zon larangan merokok dan/atau premis makanan mereka memang boleh merokok. 

1. Restoran Al-Bayan, D'Mall Seri Iskandar

    12.12.2014. Restoran ni ada tanda zon larangan merokok. Tengah tunggu order, sekumpulan student merokok. Aku dah macam kena fogging dengan asap rokok depa ni. Sesak nafas tak payah cerita la. Komplen kat pelayan restoran..setakat dapat sengih meleret je la. Haram tak tegur. Komplen plak kat kaunter bayaran..pun sama dapat sengih meleret ja. Sudahnya aku tulis surat rasmi komplen pada majlis daerah, pejabat kesihatan daerah, D Mall Seri Iskandar dan YB Nizar. Bulan depan kalau aku tak dapat maklum balas, aku tulis surat peringatan.   


2. Thumb's Cafe, Greentown, Ipoh

     Cafe ni plak pengalaman haousemate aku. Dia komplen pada pemilik cafe pasal orang merokok. Pemilik cafe kata cafe diorang memang boleh merokok. Ok noted. Kami boikot cafe ni. 


3. Restoran Tomyam Batu 6, Tambun

    Aku makan kat sini lepas balik kerja. Hari tu ramai sungguh la orang yang merokok. Sekali lagi macam kena fogging dengan asap rokok. Aku tanya pelayan kaunter bayaran, restoran ni boleh merokok ke? Dia kata restoran ni boleh merokok. Ok noted. Aku boikot restoran ni.


4. Pusat Makanan Hot Spring, Pekan Tambun

    Stall makanan goreng-goreng kat sini paling scary. Depan mata aku sendiri aku tengok tukang masak tu memasak sambil merokok!!! Ini memang takde kompromi. Confirm boikot.


5. Restoran Anjung Salju, Greentown Square, Ipoh

    Housemate aku komplen pasal orang merokok dalam restoran dan minta diorang letak tanda larangan merokok. Tapi masih takde tanda larangan merokok. Pekerja restoran kata premis diorang boleh merokok. Ok noted. Boikot.    


Rokok, asap rokok dan seumpamanya membahayakan kesihatan. Sebagai second hand smoker aku memang marah dengan perokok yang tak tahu hormat langsung orang lain bila depa merokok di tempat awam terutamanya premis makanan. Kalau kau nak mati, kau mati sorang! Kalau kau nak merokok satu karton rokok pun aku peduli apa. Tapi tolong jangan bahayakan orang disekeliling kau. Bagi aku perokok yang macam ni tak tahu hormat orang dan biadab. Lebih biadab lagi bila ditegur pun buat dek je. 

Setahu aku yang cetek ilmu ni, premis makanan adalah zon larangan merokok. Tapi tak tau la plak kalau undang-undang dah tukar. 

Aku fed up dah sebenarnya pasal premis makanan yang boleh merokok ni. Komplen kat tauke kedai pun macam takde kesan je. Maybe takut hilang pelanggan. Nak nak lagi kalau tauke kedai pun perokok tegar. Pihak berkuasa plak...kalau orang tak komplen secara rasmi tak buat spot check kot. Entah la. 

Sudahnya boikot sendiri je la. Kalau setakat aku sorang je yang boikot premis makanan macam ni takde nya bankrap diorang ni. Orang kata tak luak pun. Tapi yang penting kesihatan aku.   



p/s: aku respect tauke kedai yang tak bagi muka kat pelanggan yang merokok dalam premis makanan depa. 



Thursday, December 11, 2014

5 tahun ke Big Bad Wolf (BBW)

Ini tahun ke-5 aku pergi BBW. Bagi pencandu buku, BBW adalah antara acara pesta buku tahunan paling penting yang harus pergi. Di BBW lah duit yang ditabung selama hampir setahun "dilaburkan". 

2014 adalah tahun ke-2 BBW dibuka selama 24 jam sepanjang ia diadakan. Jadi terpulanglah jam berapa pun mahu pergi membeli-belah. Jualan akhir tahun di SOGO pun tak dibuka 24 jam. Waktu kemuncak di BBW adalah jam 12 tengah malam sehingga lebih kurang jam 3 pagi. Jadi tahun ni untuk mengelak waktu kemuncak tersebut aku datang BBW jam 3 pagi. Gila? Apa nak hairan kat Malaysia ni...orang tengok bola pun sampai 3-4 pagi kan.     

Aku ni kira memang gigih la pergi BBW ni. Dari Ipoh ke KL Sentral naik ETS kemudian ada la kakak aku atau kawan2 aku yang budiman akan ambik dan pergi BBW. Yang mencabar adalah bawa balik semua buku2 tu dengan ETS.

Dah habis ke baca semua buku yang beli kat BBW??
Sejujurnya, masih belum habis baca. Kau akan faham maksud aku kiranya kau seorang bibliophile.

Jadi kenapa masih tetap mahu beli buku di BBW kalau buku yang ada masih belum habis baca?
Bagi aku, buku ibarat cek yang masih belum ditunaikan. Buku tak ada tarikh luput.

Kenapa orang suka sangat pergi BBW?
Sebab buku2 di BBW murah. Buku kanak2 serendah 50 sen. Buku/Novel Bahasa Melayu serendah RM5.00. Buku Bahasa Inggeris serendah RM8.00. Kalau bertuah boleh dapat buku harga RM3.00. Dari segi harga, memang harga buku di BBW murah. Kau akan faham maksud aku sekiranya kau adalah golongan rakyat marhaen.

Kalau murah macam tu mesti buku lama kan?
Tak juga. BBW jual buku 1st hand. Tapi buku2 ni overprinted or remaindered. Atau ada setengah orang kata buku yang jual tak laku. Dari segi tahun terbitan, ada juga buku2 yang baru terbit. Ikut nasib la. Kata kunci di sini adalah remaindered or overprinted atau jual tak laku kata setengah orang.

Buku apa je yang ada jual kat BBW?
Macam2 ada. Fiksyen, Non Fiksyen, buku masakan, buku kanak2, buku motivasi, komik, majalah, buku seni reka, buku agama, buku melancong, memoir, autobiografi, sejarah, sains fiksyen, ensiklopedia, dsb. Kebanyakan buku dalam bahasa inggeris. Baru tahun lepas dan tahun ni ada sikit buku bahasa melayu.

Untuk yang pertama kali nak ke BBW; 
- Sila pakai pakaian dan kasut yang selesa.
- Bawa beg atau troli atau luggage sendiri. Tapi kalau tak bawak pun takpa. BBW ada kotak. Tahun ni BBW ada sediakan bakul troli. Tapi terhad. 
- Pastikan cukup sihat dan bertenaga. Takut nanti pengsan pulak dalam hall yang besar dan penuh dengan buku tu. 
- Elok la rancang nak beli buku genre apa. Untuk kemudahan. Takdak la nanti ke sana ke mari cari buku. 
- Akhir sekali, ambil masa dan nikmatilah lautan buku di BBW. 



p/s: harap BBW datang Ipoh tahun 2015.    

   

Sunday, November 2, 2014

Pahit Sayur Peria

Masa aku kecik dulu bukan semua sayur dapat 'masuk' ke dapur rumah kami. Peria antara sayur yang bertuah. Itu pun jarang, Bukan selalu. Biasa mak akan masak peria tumis dengan telur. Itu je. Mak tak pernah masak cara lain. 

Aku tak pernah suka makan sayur peria. Sebab rasa peria pahit. Pahit sangat bagi aku. Jadi kalau makan aku hanya akan kutip telur-telur yang melekat/tersalut kat peria-peria tu. Dan mak dengan kakak-kakak aku akan bising sebab peria tu jadi bogel tak bersalut telur dan rasa pahit peria tu akan lebih terasa. 

Hari ni makan tengahari aku ambik sayur peria goreng tepung. Aku pun tak tau kenapa aku ambik sayur peria. Aku agak mungkin dah besar ni aku dah boleh makan peria yang pahit tu. Peria masih pahit pada lidah aku. Cuma seingat aku tidak sepahit aku makan masa kecik dulu. Mungkin. Entah. 

Apapun sayur peria bukanlah kegemaran aku. Malah aku tak suka. 

Bagi aku hidup ni macam sayur peria. Pahit. Terserah pada kita macam mana nak kurangkan atau hilangkan rasa pahit tu. 



epitjack!
301014@1453
Ipoh

     

Monday, August 25, 2014

Munsyi Abdullah Bin Abdul Kadir (1796-1854)

Sekarang aku sedang baca buku Hikayat Abdullah yang diadaptasi oleh Hamzah Hamdani. 


Munsyi Abdullah adalah seorang guru bahasa dan penulis berketurunan Arab-India. Ramai sarjana berpendapat beliau adalah bapa kesusasteraan Melayu moden. Beliau mengkritik secara terus terang golongan bangsawan dan bangsa Melayu, dan menyindir pihak penjajah Inggeris serta mengkritik penjajah Belanda.

Bagi aku, ini adalah satu buku yang wajib dibaca untuk memahami pemikiran Munsyi Abdullah. Hikayat Abdullah ini dihasilkan oleh beliau pada tahun 1849. 

Aku nak catat apa yang baik dalam setiap bab buku ni.  




Monday, August 4, 2014

Bergantung pada Allah SWT

Agak lama tak tulis apa-apa di sini. Bukan tak ada cerita tapi terlalu banyak cerita sampai tak tahu mahu tulis bagaimana.

Antara cerita yang sedih, macam-macam melanda Malaysia. Dari cerita kes bunuh dan culik di Sabah sampai la kapal terbang MAS MH17 ditembak jatuh di Ukraine. Sedih MH370 pun belum terubat. Ditambah lagi dengan MH17. Memang luluh hati. 

Di saat umat Islam mula berpuasa, zionis menyerang Palestin lagi. Sampai kini pun masih belum berhenti berperang. Berjuta manusia terkorban. Bertambah luluh hati. 

Namun kita tetap sambut Hari Raya Aidilfitri. 

Raya tahun ni tak berapa meriah di rumah kami. Ini tahun kedua raya kami tanpa mak. Tapi tahun ni kami sambut raya dengan berita yang tak berapa enak juga. Sel kanser abang long aktif kembali selepas 8 tahun tidak aktif. Jadi lepas raya kena kembali ke hospital untuk rawatan kimoterapi. Nak bergembira di hari raya pun tak berapa syok sebab keluarga kak yong dan abang long tengah hadapi saat kritikal ini kembali. Kami satu keluarga cuba juga tenang dan bergembira. Tapi hati kami semua tetap rawan. Kalau fikir balik, tak sanggup nak hadap saat tu lagi. Cuma kali ini beza sedikit. Anak-anak kak yong dah besar. Jadi kali ni cabaran pasti berbeza. 

Aku rindukan segalanya tentang mak. 

Aku demam di hari raya kedua. Raya keempat dah mula kerja walau masih tak berapa sihat. Raya kelima lepas hadir kes di mahkamah aku terus cuti. Perlu rehat secukupnya kalau tidak demam ni takkan sembuh sepenuhnya. 



p/s: Ya Allah, bantulah kami dalam menentang kejahatan yang batil dan bantulah kami dalam menghadapi ujian-Mu ini.

    


Thursday, May 1, 2014

Dari Beijing ke Rom

Terbitan DuBookPress (DBP) 2014.
Aku ke Beijing dengan 'Bagaimana Anyss Naik ke Langit'. Jalan-jalan di Beijing melawat tempat popular kunjungan pelancong seperti Kota Larangan dan Tembok Besar Cina.

Itu hanya latar cerita. Pokok ceritanya lebih besar daripada latarnya.

Cerita Prof Anyss ini tiada bab. Seperti cerita Budak Beca, penulis menggunakan Prof Anyss untuk menyampaikan isu Penan yang tertindas.

Prof Anyss 'lari' ke Beijing daripada menjadi sasaran orang-orang tertentu di Malaysia. Prof Anyss lari membawa dokumen penting untuk menjuarai Penan yang tertindas. Wanita Penan yang dirogol pembalak. Benar kata Prof Anyss, 'bukan dirinya yang kontroversi tapi isu yang dibawanya yang kontroversi'.

Soalan Mustaqim anak Prof Anyss memberi tamparan buaya kepada aku, 'Mengapa orang kita rasa menolong Palestina lebih bersyurga kalau Penan di halaman sendiri diperlakukan sebagai mangsa?'. Lama aku terdiam dengan soalan ni. Tak tahu nak bereaksi bagaimana.

Prof Anyss adalah sasaran. Sasaran siapa dan apa? Semuanya akan terjawab dalam 'Bagaimana Anyss Langit ke Langit'.

Isu Penan itu buat aku kaget dan berfikir panjang. Mencucuk-cucuk otak aku. Penindasan sebegini kejam berlaku di halaman belakang rumah sendiri! Dan aku buat apa?

Cerita ini terlalu pendek bagi aku dan sebab itu aku kecewa sebab tak puas. Tapi isu yang diketengahkan penulis buat otak aku 'sakit' berhari-hari.



Terbitan ITBM 2013
Aku terus ke Rom kemudiannya. S.P.Q.R (Senatus Populusque Romanus – Senat dan Rakyat Rom). Aku dibawa jalan-jalan di Vatican City antaranya. Juga melihat Colliseum (terbayang novel Dan Brown).

Latarnya sudah tentu Rom kota purbakala. Tapi kisah naratifnya bercampur aduk dengan cerita peribadi dan isu Islam pada pandangan Barat.

Kisah Aliff @ 'Rafa' yang lari ke Rom membawa hati yang luka dan lara. Mengapa Rom hanya penulis yang tahu. Dia lari ke Rom untuk memulakan hidup baru. Dia tinggalkan suit mahal hanya untuk memakai 'apron kotor' (bak kata bosnya).

Rom kota purbakala itu menemukannya dengan Sofea si gadis bermata hijau zamrud. Sepanjang persahabatannya dengan Sofea, dia dibawa keliling kota Rom dan Vatican City. Juga Sofea mula bertanya tentang Islam kepadanya. Di sinilah isu Islam di mata Barat ditimbulkan oleh penulis Apa pandangan Barat terhadap Islam khususnya selepas kejadian 9/11.

Penceritaan diselang-selikan dengan kisah Aliff @ 'Rafa' sebelum lari ke Rom. Pengakhiran kisah 'Rafa'-Sofea ini sudah dapat diagak. Cuma ada sedikit elemen kejutan di akhir cerita.

S.P.Q.R ni mungkin lebih enak kalau penulis juga lebih sedikit cerita tentang makanan Itali. Bukan sekadar menyebut beberapa nama makanan. Aliff @ 'Rafa' itu wataknya seorang peguam hebat di sebuah firma guaman besar di Kuala Lumpur sebelum lari ke Rom menjadi chef. Tapi tingkah lakunya sepanjang prosiding perbicaraan kes kemalangan tunangnya Amanda, ada yang tidak cocok bagi aku. Aku agak penulis ni seorang peguam. Tapi aku rasa Aliff @ 'Rafa' ni tak seperti litigation lawyer malah seperti conveyancing lawyer pula tingkahnya. Atau mungkin seorang peguam akan berubah tingkah bila dia menjadi mangsa.

S.P.Q.R ni premisnya mudah dan bagi aku klise. Isu Islam yang ditimbulkan tidak cukup 'thought provoking' bagi aku. Hanya menyentuh permukaan saja. Apa pun, S.P.Q.R ni menang hadiah saguhati sayembara ITBM-PENA-BH.

Jadi, selamat membaca semua!



epitjack!
010514@1410

 

Tuesday, April 29, 2014

kisah dua pakcik

Kisah Pakcik No. 1 diceritakan oleh kakak aku. Kejadian ni dua minggu lepas waktu dia hantar anak buah kami pergi temuduga kemasukan jurusan seni lukis & seni reka. 

"Pakcik ingat anak pakcik sorang ja yang dapat interview ni." Kakak aku terus paling muka dan rasa jengkel.

Amboi..pakcik ingat anak pakcik tu Van Gogh atau Picasso ke?  Pakcik, ramai yang dapat temuduga ni. Jadi saya harap anak pakcik berbakat dan dapat bersaing dengan calon-calon lain.


Kisah Pakcik No. 2 terjadi semalam waktu aku lepak makan dengan kawan-kawan aku lepas habis kes. 

Tengah kami syok berborak pakcik ni tanya, "Ada beza ke matrik dengan A level?" Kami jawab, "Beza pakcik. A level tu nak pi oversea. Maktrik nanti lepas habis kena apply masuk U (local) semula." 

Tak berhenti di situ je. Pakcik ni gebang sakan la pasal anak dia yang dapat offer matrik dan A level tu. Pasal Oxford University & Cambridge University top 5 University in the world la..pasal anak dia nak jadi CEO la..pasal gaji RM80k tak cukup la..pasal doktor lebih rendah daripada CEO la..pasal soalan pakcik tu "Pernah dengar MCKK?" la..pendek kata macam2 la. Sampai tak mampu dah nak bersangka baik. Akhir sekali pakcik tu tanya kami ni semu kerja kerajaan ke? Kami semua jawab serentak, "Tak. Kami kerja swasta. Kami semua kerja sendiri." 

Wahai pakcik, saya sebenarnya tak kisah pun anak pakcik budak MRSM ke, dapat result SPM straight A ke, nak jadi CEO gaji RM80k ke, yang penting anak pakcik suka apa yang dia buat. 

Nasib baik la kami semua ni bukan doktor. Kalau doktor dengar pakcik cakap yang anak pakcik kata doktor tu lagi bawah daripada CEO, mau terbakar doktor2 kat luar sana tu. Pakcik kena ingat (anak pakcik sebenarnya yang kena lebih ingat) realiti dunia pekerjaan lebih kejam. Dan isu CEO lebih tinggi daripada doktor bukan isu utama. Macam mana anak pakcik boleh kata macam tu sedangkan CEO dan doktor tidak berada dalam hierarki organisasi yang sama? Melainkan anak pakcik CEO kat hospital. Anak pakcik kata nak ambik business. Tapi doktor perubatan. Dah tentu tak sama bidang. Jadi macam mana plak CEO lagi tinggi daripada doktor kalau 2 bidang ni tak bertemu? Mungkin anak pakcik nak kata CEO lagi kaya daripada doktor la kot. Tapi anak pakcik kena ingat, kalau dia jatuh sakit nak mintak MC ke apa, dia kena mintak daripada doktor. Doktor kena bagi dia ubat. Kalau doktor boikot tak mau rawat dia pasal kata doktor lagi rendah daripada CEO macam mana? 

Moralnya pakcik...bukan siapa lebih bagus daripada siapa atau pekerjaan apa lebih tinggi daripada pekerjaan apa. Tapi kita ni hidup saling memerlukan, memenuhi dan bergantung antara satu sama lain. Compliment each other. Juga kita ni bekerja untuk apa? Untuk kaya atau untuk memberi semula kepada masyarakat atau untuk saham kita di syurga nanti? 

Saya faham pakcik bangga dengan anak pakcik, tapi saya rasa tahap bangga pakcik sampai dah merendahkan orang lain plak. Dan itu buat saya rasa jengkel. Pakcik kena ingat, anak pakcik tu baru habis SPM ja. Belum masuk U lagi. Even belum grad pun lagi. Apatah lagi nak dapt pekerjaan. Pendek kata perjalanan anak pakcik masih jauh lagi. Apapun saya doakan anak pakcik dapat jadi CEO dengan gaji RM80k.


p/s: hidup ni bukan setakat kaya dan kerja bergaji besar. tapi makna hidup ni lebih besar daripada semua tu.
 
 


Monday, April 14, 2014

Obsesi (sempena PBAKL 2014)

Ini gambar 2 orang anak buah aku yang juga obses pada buku macam aku. Ini gambar masa kami di Big Bad Wolf 2012. 

Me with Ika & Adam
Ika & Adam now 10 & 6 years old respectively. 

Ika: she read almost everything apa yang ada kat rak buku aku. Obviously she's more knowledgeable other than her friends at the age of 8 years old. By 9 years old, dia kata besar nanti nak jadi penulis macam Ain Maisarah her favourite author. For now dia kata nak kumpul semua buku Ain Maisarah. Dia ni fast reader. Kalau pergi beli buku tak sampai rumah lagi dia dah habis baca buku tu. Lepas beli terus baca. Disebabkan dia nak jadi penulis, aku suruh dia mula menulis cerita dari sekarang. Dan dia dah tulis beberapa cerita. Aku dah baca juga. Not bad. Tapi disebabkan jadi pelajar sekarang ni sibuk dengan sekolah, masa untuk dia menulis terhad. Ika pernah kata, "semua buku kat perpustakaan sekolah tu dah baca. Lagipun kebanyakan buku kat perpustakaan tu terlalu kanak-kanak". Amboi terlalu kanak-kanak katanya....macam la dia tu dah dewasa. Sebab tu la dia ni menyasar habis ke rak buku aku kononnya nak baca buku yang tak terlalu kanak-kanak. Jadi bahaya jugak kalau kat rak buku aku ada buku yang tak sesuai untuk bacaan kanak-kanak bawah umur. 2 minggu lepas aku balik bawa buku 'A Diary of a Young Girl' by Anne Frank. Minggu lepas balik aku tak bawa balik buku tu. Dia tanya aku mana buku a diary of a young girl tu. Alamak aiii...budak ni perasan aje buku2 yang aku baca. Aku bagitau dia tak bawa balik. Tapi dia sebenarnya tau tak buku tu buku apa? Buku pasal budak perempuan yang bersembunyi daripada kena tangkap dengan Nazi. Entah2 dia ingat buku tu buku diary budak perempuan biasa2 je. Ke entah2 sebenarnya dia dah baca buku tu masa aku tinggal buku tu tergeletak atas meja kopi? Biasanya dalam keadaan macam tu dia dah baca. Sebab tu dia tanya nak sambung baca la konon. Enough said about her. Aku akan wasiatkan semua buku-buku aku pada Ika nanti.     

Adam: dia ni sangat obses pada dinosour. Asal masuk kedai buku je beli buku dinosour. Pendek kata dia memang ada banyak buku dinosour. Ensiklopedia dinosour lebih tepat lagi. Aku banyak belajar dan tahu pasal dinosour ni pun daripada buku-buku yang dia beli. 2 minggu lepas kat kedai buku aku tanya dia, "Kenapa Adam nak beli buku dinosour banyak2?" Dia jawab, "Sebab Adam nak ada banyak buku dinosour la...". Jawapan yang tak pasti daripada dia. Tapi minggu lepas dia dah bagi jawapan yang pasti kenapa dia nak ada banyak buku dinosour. Dia kata, "Adam nak ada banyak buku dinosour sebab Adam nak jadi dinosour arkeologi." Wow! dia faham ke tak entah dinosour arkeologi tu apa. Tapi dulu aku pernah bagitau dia, "Kalau semua pasal dinosour Adam tau besar nanti boleh jadi paleonthology. Macam dinosour arkeologi. Sekarang ni kita ada jumpa fosil dinosour kat Pahang..". Entah2 dia main ulang je apa yang aku cakap dulu tu.  

Dan aku pulak bak kata kawan aku yang hairstylist tu: dah jatuh HARAM beli buku. Sebab terlalu banyak buku yang belum sempat dibaca. 

Makanya, PBAKL 2014 kali ni masih KIV untuk pergi ke tak. 


p/s: kalau aku sampai ke PBAKL 2014, maka akan ada update seterusnya.




Thursday, March 20, 2014

be yourself

hari ni anak buah aku yang ketiga ambik keputusan spm. ya. dah 3 orang anak buah aku lepas spm. maksudnya aku dah tua. memang dah tua pun. 

yang pertama, result spm dia memang buat aku rasa nak pitam nak pengsan semua ada la bila tengok slip spm dia. semua serba tak kena bila aku try tolong dia apply upu online tu. ada je subjek yang tak cukup kredit..tak lepas nak apply course sekian2. sampai bergaduh2 dengan mak ayah dia. merajuk sampai nak mengulang ambik spm balik budak tu. kesian aku tengok dia masa tu. akhirnya dapat juga masuk PUO panggilan kedua mechanical engineering. rezeki dia. alhamdulillah. la ni budak tu dah semester akhir kat PUO. harap dia tak repeat lagi dan boleh grad. 

yang kedua ni aku memang tak pernah risau sangat pasal result spm dia. cuma expectation aku tinggi la. ye la budak sekolah menengah sains mesti la sepatutnya boleh dapat straight A. bagi aku tak boleh result spm dia macam budak sekolah harian biasa kan. ok dia tak dapat straight A. tapi masih ok. dia ni ada masalah tak tau nak ambik course apa. semua course pun macam blur je. kali ni mak ayah dia slow sikit. maybe dah ambik pengalaman si abang hari tu kot. plus aku dah warning siap2 jangan push budak2 ni ambik course yang depa tak minat ke apa. in the end dia ambik course fisioterapi. aku sokong 100%. so far so good. she's doing well.

yang ketiga ni memang mencabar nak didik dia. pendek cerita dia ni memang lemah dalam pelajaran. dia ni ibu lain. maksudnya anak kakak aku no. 2. yang 2 tersebut di atas tu anak kakak aku no. 1. kira depa ni sepupu la.  tapi dia ni special. sangat berbakat dalam seni lukis. aku memang sokong dia ambik seni. tadi katanya dia kecewa sangat sebab subjek seni tak dapat A dalam spm. aku paham. untuk dia, bagi aku result spm dia tak la teruk. dapat 6B memang dah cukup baik untuk dia walaupun takdak A. ini bukan penamat bagi dia. tapi permulaan baru untuk dia berusaha lebih keras. aku harap dia jadi diri dia sendiri. result spm tu bukan la kayu pengukur kejayaan sepanjang hidup. kejayaan sepanjang hidup tu kita yang tentukan dan tiada had. yang penting usaha. 

depa 3 orang ni memang tak sama. dan aku selalu treat depa mengikut kemampuan depa. nilai depa dengan kebolehan dan potensi diri depa. selalu bagitau depa yang depa ni special dengan kebolehan diri masing2. buat apa yang depa suka. bukan apa yang orang lain suka. 


p/s: kenalilah potensi diri setiap anak2 dan gilap. bukan suruh mereka jadi apa yang kita nak hanya untuk memenuhi impian kita yang tak kesampaian..  



Monday, January 20, 2014

Demam dan bubur nasi mak

Doktor bagi cuti sakit 2 hari. 5 hari berehat. Betul2 rehat. Tak balik kampung. Walaupun kakak aku suruh balik rehat kat kampung. 

Bila sakit demam yang paling aku rindu adalah bubur nasi bersama sup ayam yang mak buat. To tell the truth, aku tak tau buat bubur nasi. So it end up aku makan bubur nasi McD or Marrybrown. 

Tak sihat macam ni memang selera aku mati. 

Hari ni dah kembali masuk ke pejabat. Rutin biasa. Masih on medication.  





 

Friday, January 10, 2014

Janji

Kakak aku: Hello. Ko janji apa dengan budak2 ni?

Aku: Janji apa?

Kakak aku: Budak2 ni kata ko janji nak bawak depa pi tasek kat UTP tu esok..tengok ikan.

Aku: Adoii..ha'ah la...last week aku ada janji nak bawak depa pi tasek UTP tengok ikan.

Kakak aku: Haaa kena bawak la..jangan lupa plak. Depa ni dah seminggu membilang hari nak pi tasek tengok ikan katanya. Siap nak beli roti bagi ikan makan.

Aku: Hahaha...ye la. Aku dah tak ingat pun sebenarnya. huhu

Kakak aku: Tu la ko..dengan budak2 ni bukan boleh berjanji. Depa ni ingat je....



Adoiii la....budak2 ni. kalo dah berjanji tu memang depa tuntut sungguh2! hoho





Thursday, December 19, 2013

Buku pilihan 2013

Masih tinggal satu buku untuk capai target 60 buku tahun 2013. 

Apapun daripada 59 buku yang dah dibaca, ada beberapa buku yang menjadi favourite dan juga merubah sisi pandang hidup. 

Shadow Play by Barbara Ismail

Misteri pembunuhan ahli kumpulan wayang kulit. Siapa si pembunuh? Isteri kedua? Atau rakan sekumpulan yang cemburu? Keterangan saksi semua pun celaru. Yang menarik, akhirnya seorang makcik yang dapat selesaikan kes pembunuhan. Kalau suka watak Miss Marple dalam buku Agatha Christie, pasti anda suka juga watak Makcik Maryam ni. So far, I can say Makcik Maryam is Miss Marple Malaysia.


Devil's Place by Brian Gomez

Hillarious! Asyik gelak je sepanjang baca buku ni. Buku ni bukan cerita lawak. Tapi pasal pembunuhan juga. Cerita thriller yang digarap dengan baik and brilliant. Akibat daripada salah faham yang berlarutan, macam-macam yang berlaku dalam usaha mereka mencari kebenaran sambil melarikan diri daripada ditangkap dan dibunuh. 


Langit Vanilla by Wani Ardy

Koleksi puisi dan catatan peribadi penulis. Bukan berbunga-bunga tapi dekat dengan hati kita menusuk terus ke dalam jiwa.


Who Moved My Cheese by Spencer Johnson

Buku selfhelp yang banyak merubah sisi pandang hidup tahun ni. Lepas baca buku ni, aku berhenti daripada tanya soalan "kenapa jadi macam ni?" Benda dah jadi..bukan boleh buat apa dah. Yang paling penting macam mana nak rectify dan selesaikan masalah. Bukan keep asking why it's happened. 


Mahar ke Syurga by Wanji Aswandi

Buku paling tulus. Kita cuma hamba di muka bumi ni dan matlamat akhir kita adalah syurga. 


For One More Day by Mitch Albom 

I wish I had one more day, mom. Buku yang agak sedih. Kita ada Allah. In shaa Allah kita akan kuat dalam meneruskan kehidupan tanpa orang tersayang. 


The Litigators by John Grisham

Kalau tengok review dan komen di goodreads memang ada yang suka dan ada yang tak suka buku ni. Aku suka. Sebab buku ni lain daripada buku John Grisham yang lain-lain tu. Terima kasih akhirnya John Grisham pamerkan juga macam mana realiti hidup jadi street lawyer macam aku ni. Jadi lawyer ni bukan indah dan bergaya macam kat tv dalam drama The Firm, The Good Wife, Fairly Legal, etc. More or less realiti hidup lawyer macam dalam buku ni. 


Tahun depan misi dan target: gaya bebas. 


p/s: read..or die!


      

Monday, November 11, 2013

Tahun 2014

Dah hujung tahun 2013 pun. Cepat ja masa berlalu. Aku masih ada 5 buku kena baca untuk melengkapkan target baca 60 buah buku tahun 2013 ni. Dan pesta buku terakhir untuk tahun ni adalah Big Bad Wolf bulan depan.

Tahun depan 2014, tiada target baca berapa buku. Tiada pesta buku. Tahun depan freestyle. Tiada tekanan. Mungkin nak baca banyak buku non-fiction. Ada beberapa buku non-fiction yang tak berusik kat rak buku aku tu. 


p/s: surprisingly, bulan ni tak beli buku lagi untuk diri aku..
  

Wednesday, October 23, 2013

syabu atau shabu-shabu?

2 minggu lepas. Keluar jalan-jalan dengan anak2 buah. Masa dalam kereta berhenti kat lampu isyarat merah. 

All of us are talking about shabu-shabu. Planning to eat at shabu-shabu. But suddenly, my 9 years old niece shouted that we can't eat shabu-shabu because it's a drug! Everybody stunned. 

My immediate response: laughing out loud!!! 

After I composed myself, I told her that we are not talking about syabu the drug. But we are talking about shabu-shabu the steamboat restaurant. Then she said she thought we are talking about syabu the drug. I told her it's good for her to know that syabu is a drug and we can't consume it. 


p/s: no doubt, my 9 years old niece must be reading a lot... 



Friday, October 18, 2013

suka tak suka

Kadang-kadang buku yang kita suka baca orang lain tak suka. Dan begitulah sebaliknya. 

Bagi aku sinopsis, dan beberapa mukasurat permulaan penting untuk menarik minat aku terus baca. Kalau aku dah baca bermuka-mukasurat, berbab-bab tapi masih tak menarik..buku tu bakal di'peram'. 

Beberapa minggu lepas, kakak aku ada banyak masa membaca sebab dia dalam pantang. Amboi bukan main rakus sekali membaca. Dapat habiskan baca novel berbiji-biji katanya. Tapi ada satu novel ni. Dia baca. Lepas tu letak tepi. Dia tanya aku, "ada novel lain yang best tak?" yang dia belum baca. Aku tanya dia, "apsal? Tu novel tengah baca tak best ke?" Dia kata, "Bosan aku. Cerita nak pi kedai buku beli buku pun sampai 12 mukasurat!" Aku respon, "ohhh...entah tengok la kat rak ni kot ada buku yang berkenan". 

What the hell?! 12 pages? pasal nak pi kedai buku beli buku je?? errrggghhhhh.....entah la. 

Tapi aku pernah jugak baca novel yang rasa macam nak tarik2 rambut. Mental tortured aku rasa. Kalau tak habiskan rasa kesian plak kat buku tu. Plus, aku dah beli buku tu. Rugi plak kalau tak baca. Tapi aku memang takkan ulang baca la buku tu kan. Baru seminggu aku tinggal buku tu kat rak buku kat rumah abah. Anak buah aku cakap dia dah habis baca buku tu. Amboi cepatnya habis baca. Aku ambik masa 5 bulan kot! sebab aku peram buku tu...